Date uploaded: 2021-07-23 06:35:19

Archive date: Fri, 24 Dec 2021 22:23:49 GMT

GADONG, Khamis 22 Julai - Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah bersempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1442 Hijrah bersamaan dengan tahun 2021 Masihi yang telah berlangsung di Surau Sementara, Ibu Pejabat Polis Gadong, petang tadi. Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging-daging korban dan aqiqah pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali. Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid, Penguasa Kanan Polis (Snr Supt) Haji Azree bin Haji Manaf selaku Pengerusi BUI, Para Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, Ketua-ketua Formasi, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai Kanan serta anggota dan warga kakitangan awam PPDB. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir Hari Raya dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar dan kemudiannya diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban dan aqiqah oleh tetamu kehormat kepada penerima-penerima khas. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta solat asar berjemaah. Pada tahun ini, seramai 35 orang peserta menyertai ibadah korban kelolaan BUI PPDB yang melibatkan sebanyak 5 ekor sapi. Sebagaimana dalam hadis daripada Aisyah Radiallahuanhu bahawa Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassalam bersabda yang kira-kira maksudnya, "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah Subhanahu Wata'ala sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)." [Riwayat al-Tirmizi] #upappdb #ppdb_bn