User: Muhyiddin Yassin
Date posted: Sun, 04 Nov 2018 03:00:26 GMT
KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI DALAM NEGERI
BAJET 2019
...Saya mengalu-alukan Bajet 2019 yang telah dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan di Dewan Rakyat. Bajet kali ini melakar sejarah sebagai bajet pertama yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Bajet ini adalah sebahagian daripada langkah permulaan kerajaan Pakatan Harapan untuk memenuhi mandat rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-14.
Dengan 3 fokus belanjawan iaitu melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya keusahawanan, saya yakin Bajet 2019 akan mampu membiayai pengurusan negara, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi faedah kepada rakyat.
Keyakinan ini adalah berasaskan beberapa petunjuk ekonomi yang memberangsangkan. Antaranya, prestasi ringgit yang semakin baik, kadar inflasi yang kekal rendah dan pertumbuhan ekonomi yang dijangka lebih positif pada tahun hadapan.
Dengan langkah-langkah konsolidasi fiskal yang akan diambil oleh kerajaan, defisit juga akan berkurangan sehingga 2.8% pada tahun 2021. Tanggungan negara juga akan berkurangan dengan pembatalan beberapa projek mega kerajaan kleptokrat Barisan Nasional yang dilaksanakan bersasaskan perjanjian yang berat sebelah dan kos yang tidak munasabah.
Walaupun kerajaan menghadapi kekangan kewangan akibat pemborosan dan penyelewengan kerajaan terdahulu, yang penting rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah terus menerima bantuan kerajaan menerusi Bajet 2019.
Ini termasuk bantuan sara hidup untuk kumpulan B40 secara bersasar dengan peruntukan RM5 bilion, subsidi minyak bersasar dengan peruntukan RM2 bilion, subsidi elektrik RM40 ke bawah kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih, bantuan one-off sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan yang berkelayakan, bantuan kemudahan kesihatan kepada keluarga pegawai kerajaan lantikan kontrak dan kadar gaji minima dinaikkan kepada RM1100 di seluruh negara.
Selain itu, semua rakyat akan terus menerima manfaat penghapusan GST dengan menikmati 5271 item berkadar 0% di bawah SST berbanding hanya 545 item berkadar 0% di bawah GST. Dengan tiada sebarang kenaikan cukai pendapatan dikenakan, rakyat akan mempunyai lebih wang untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Menteri Kewangan yang telah memperuntukkan sejumlah RM15.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tahun 2019 berbanding RM14.2 bilion bagi tahun 2018. Peningkatan peruntukan ini adalah selaras dengan pertambahan 2 agensi di bawah KDN iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Saya juga amat berterima kasih di atas peruntukan sebanyak RM112.9 juta untuk pembaikan dan ubahsuai kuarters polis yang akan memberi manfaat kepada anggota polis dan ahli keluarga mereka yang mendiami kuarters di seluruh negara.
KDN akan membelanjakan peruntukan ini untuk membaiki kuarters polis yang memerlukan pembaikan dengan segera dan seterusnya memberikan keselesaan kepada anggota polis yang berkhidmat untuk negara.
Saya percaya dengan pengurusan kewangan negara yang berhemah dan reformasi institusi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan, negara kita akan dapat diurus dengan cekap, telus dan berintegriti demi memenuhi amanah kepada rakyat.
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Menteri Dalam Negeri
4 November 2018